Tuesday, 26 March 2013

Travelog Umrah 2013: Doa Ketika di Mekah

Saya perturunkan disini doa-doa yang disarankan ketika berada di Masjidil Haram. Saya dapatkan dari Internet dan beberapa buku panduan umrah. Saya suka baca doa dalam bahasa Melayu sebab ianya lebih mudah difahami dan mudah masuk ke hati/ kusyuk. Doa-doa di sini hanyalah satu cadangan sahaja. Terpulang kepada masing-masing apa yang hendak didoakan tapi jangan lupa beberapa perkara iaitu, keampunan dari dosa, untuk diri kita, ibubapa, suami/isteri, anak-anak, ahli keluarga, dll. Mohon agar kita dijauhkan dari neraka dan masukkan kita ke dalam syurga. Boleh juga mohon dilimpahkan ilmu yang bermanafaat, rezeki yang luas dan kesembuhan dari penyakit. Juga boleh mohon berjaya dalam peperiksaan, berjaya dalam perniagaan, di kurniakan anak dan sebagainya. Wallahu'alam.

1. Doa memasuki kota Mekah.
"Ya Allah, kota ini adalah tanah haram-Mu dan tempat yang aman-Mu maka haramkanlah darah, daging, rambut dan kulitku dari api neraka. Dan selamatkanlah diriku dari siksa-Mu pada hari Engkau membangkitkan kembali hamba-hamba-Mu dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang selalu dekat dan taat kepada-Mu."
2. Banyakkan istighfar (baca penghulu istighfar) ketika dalam perjalankan ke masjidil Haram.



3. Doa memasuki Masjidil Haram.
"Ya Allah, Engkau sumber keselamatan dan dari-Mu lah datangnya keselamatan dan kepada-Mu kembalinya keselamatan. Maka hidupkanlah kami wahai Tuhan dengan selamat sejahtera dan masukkanlah kami ke dalam syurga negeri keselamatan. Maha banyak anugerah-Mu dan maha tinggi Engkau wahai Tuhan yang memiliki keagungan dan kehormatan. Ya Allah bukakan lah untukku pintu rahmat-Mu.  Aku memasuki masjid ini dengan nama Allah disertai segala puji bagi Allah serta selawat dan salam untuk Rasulullah."

4. Doa apabila nampak Kaabah.
"Ya Allah tambahkanlah kemuliaan, keagungan, kehormatan dan wibawa pada Bait (Kaabah) ini. Dan tambahkanlah pula pada orang-orang yang memuliakan, mengagungkan, dan menghormatinya diantara mereka yang berhaji atau berumrah dengan kemuliaan, keagungan, kehormatan dan kebaikan. "
5. Niat iktikaf didalam Masjidil Haram.

6. Lakukan Tawaf (tidak perlu solat sunat tahayatul masjid. Ini khusus untuk di masjidil haram sahaja).


  • doa pertama
 "Maha suci Allah dan segala kepujian adalah kepunyaanNya, tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah , Allah Yang Maha Esa, tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. Selawat sejahtera ke atas Rasulullah. 
 Ya Allah Tuhanku! daku kerjakan ibadat ini ialah kerana beriman kepadaMu dan membenarkan kitabMu, menyempurnakan janji denganMu dan menurut perjalanan (sunnah) nabiMu dan kekasihMu, Saidina Muhammad s.a.w .
 Ya Allah, sesungguhnya daku meminta kepadaMu keampunan, kesihatan yang sempurna dan penolakan yang berkekalan dari bala bencana sama ada pada agama, dunia dan akhirat serta mendapat kemenangan dengan beroleh syurga dan keselamatan dari api neraka."
  • doa kedua
"Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya rumah ini rumahMu, Tanah Haram ini milikMu, keamanan ini kepunyaanMu, daku ini hambaMu, dan anak hambaMu di sini tempat orang berlindung denganMu daripada api neraka, maka haramkanlah daging kami dan kulit kami daripadanya. Ya Allah ya Tuhanku! jadikanlah kami cintakan iman, hiaskanlah iman itu di hati kami dan jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang benci kepada kekufuran, derhaka dan maksiat, jadikan kami dari golongan orang-orang yang bijak. Ya Allah ya Tuhanku! peliharakanlah diriku daripada azabMu di hari yang Engkau akan bangkitkan hamba-hambaMu. Ya Allah ya Tuhanku kurniakanlah kepadaku syurga tanpa dihisab."
  • doa ketiga
"Ya Allah ya Tuhanku! Sesungguhnya daku berlindung denganMu daripada kejahatan ragu-ragu (syak), syirik, permusuhan, munafik, perangai yang jahat, pandangan yang buruk dan daripada perubahan yang tidak baik sama ada terhadap harta, isteri dan anak-anak. Ya Allah, sesungguhnya daku pohon daripadaMu keredhaan dan syurgaMu, daku berlindung denganMu daripada kemurkaanMu dan neraka. Ya AlIah ya Tuhanku, sesungguhnya daku berlindung denganMu daripada fitnah kubur, juga fitnah hidup dan mati."
  • doa keempat
"Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah hajiku haji yang diterima, usaha yang dipuji, dosa yang diampunkan, amal salih yang makbul dan berdagangan yang tidak rugi. Ya Tuhan Yang Maha Mengetahui isi hati, keluarkanlah diriku daripada gelap gelita kepada terang benderang cahaya, ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya daku pohon dariMu perkara-perkara yang menyebabkan turunnya rahmatMu serta mendapat keampunan, keselamatan daripada segala dosa, beroleh segala jenis kebajikan, berjaya mendapat syurga dan selamat daripada api neraka. Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah diriku berpuashati dengan pemberian yang Engkau kurniakan kepadaku, berkatkanlah apa yang Engkau anugerahkan kepadaku dan gantikanlah apa yang hilang dariku dengan apa yang baik dariMu."
  • doa ke-lima
"Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah daku naungan ArasyMu pada hari yang tidak ada naungan melainkan naungan ArasyMu, tidak ada yang kekal melainkan zatMu dan berilah daku minum dari kolam nabiMu Muhammad s.a.w  satu minuman yang sedap, lazat yang kami tidak akan merasai dahaga sesudah itu buat selama-lamanya. Ya Allah ya Tuhan, sesungguhnya daku pohon kepadaMu kebajikan sebagaimana yang dipohon oleh nabiMu Muhammad s.a.w , dan daku berlindung denganMu dari kejahatan seperti yang dipohon perlindungan oleh nabiMu Muhammad s.a.w. Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya daku pohon daripadaMu syurga dan nikmatnya juga daripada apa-apa yang menghampirkan daku kepadanya sama ada dengan perkataan, perbuatan atau amalan. Daku berlindung denganMu daripada neraka dan apa-apa jua yang menghampirkan daku kepadanya sama ada dengan perkataan, perbuatan atau amalan. "
  • doa ke-enam 
"Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya banyak tanggungan-tanggunganku terhadapMu dan diantara daku dengan makhlukMu. Ya Allah ya Tuhanku, apa-apa jua kesalahanku terhadapMu, maka ampunkanlah, apa-apa juga kesalahan di antara daku dan makhlukMu, maka daku minta Engkau tanggungkan untukku. Dan kayakan daku dengan yang halal dari yang haram, dengan ketaatan dari kemaksiatan dan dengan kurniaanMu dari kurniaan selainMu. Ya Tuhan Yang Maha Luas Keampunan Ya Allah sesungguhnya rumahMu ini Maha Agung, zatMu itu Maha Mulia dan  Engkau ya Allah Tuhan Yang Maha Lemah Lembut, Maha Pemurah, Maha Agung sukakan keampunan, ampunilah dosaku."
  • doa ke-tujuh
"Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya hambaMu pohon dikurniakan iman yang sempurna, keyakinan yang sebenar-benarnya, rezeki yang luas, hati yang khusyuk, lidah yang sentiasa menyebut-menyebut namaMu, barang-barang halal yang baik, taubat yang bersungguh-sungguh sebelum mati, keampunan dan rahmat sesudah mati, kemaafan ketika dihitungkan amalan, kejayaan dengan mendapat syurga, dan keselamatan dari neraka, dengan kasihan belasMu ya Tuhan Yang Maha Mulia, Yang Maha Pengampun, ya Tuhan, tambahkanlah ilmu kepaddaku dan masukkanlah daku ke dalam golongan orang-orang yang baik. "
7. Berdoa di Multazam, Makam Ibrahim, Hijir Ismail.

8.  Doa antara Rukun Yamani dan Hajar Aswad:
"Ya Allah ya tuhan kami, berikan kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka dan masukkan kami ke dalam syurgaMu beserta orang-orang yang berbakti wahai tuhan kami yang mulia, yang maha pengampun dan yang menguasai sekalian alam."
9. Doa ketika minum air zam-zam.
"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi maha Penyayang. Ya Allah sesungguhnya aku bermohon kepadaMu ilmu yang bermanafaat, rezeki yang luas dan ubat penawar bagi segala penyakit."
10. Doa selepas tiap kali solat 5 waktu.

  • Doa mohon ampun dan kesejahteraan untuk diri dan ibu bapa.
"Ya Allah ya tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami. Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidik kami semasa kecil". (Surah Al-Isra' ayat 24)
  •  Doa memohon keturunan yang soleh dan bertaqwa.
"Ya Allah ya tuhan kami, berilah kami isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan kepada orang-orang yang mahu bertaqwa." (surah Al-Furqan ayat 74)
  • surah Al-Insyirah (mohon murah rezeki, melapangkan dada dan menjauhi penyakit)
  • Ayat 1000 Dinar / surah At-Talaaq ayat 2-3 (mohon sentiasa diberi pertolongan Allah)




  • Doa Nabi Yunus (Mohon terselamat dari kesulitan, penderitaan dan pelbagai hajat)


  • Surah At-Taubah Ayat 128-129 (Mohon kepada Allah SWT untuk mati dalam Husnul Khotimah dan menjadi pendinding daripada segala musuh).

No comments:

Post a Comment